|
SEJARAH PENUBUHAN 4B
Cetusan
idea dan ilham saudara Mohd. Kassim Shah, seorang guru di Sekolah Lelaki
Methodist, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, selaku Pengerusi Ikatan Seni
Budi yang bergabung dengan Persidangan Tetap Belia Daerah (PTBD) Kuala
Lumpur. Pada 1964 PTBD merangkumi sebanyak 21 buah persatuan adalah di
bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Saudara Mohd Kassim Shah merupakan
pemimpin yang berminat dalam hal ehwal kemasyarakatan, kebajikan dan
politik tanahair, di mana beliau pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda
UMNO Bahagian Setapak, Kuala Lumpur.
PTBD diwujudkan oleh kerajaan di setiap daerah seluruh negara di mana
strukturnya tertumpu dalam satu-satu daerah dengan tujuan kesemua
persatuan belia menyertai PTBD di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
mendapat sumbangan dan bantuan dari JKM untuk aktivitinya. Ketika itu,
pertubuhan belia Malaysia Association of Youth Council (MAYC) berperanan
peringkat kebangsaan dan PTBD pula berperanan pada peringkat daerah sahaja.
Tahun 1965 berlaku satu peralihan pada semua persatuan dan pertubuhan
belian di seluruh negara diletakkan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia
& Sukan beribu pejabat di no. 165, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Ketika itu
Allahyarham Dato’ Engku Mohsin Abdul Kadir merupakan Menteri Muda KBS.
Sebelum 4B, MAYC ditubuhkan untuk kepentingan penjajah agar
pemimpin-pemimpin belia tidak terlibat dalam politik di mana ketika itu
pemuda UMNO bersemangat memerdekakan negara. Setelah tampuk pimpinan MAYC
diambilalih oleh YM Tengku Abdullah iaitu adik kepada Yang diPertuan Agong
Pertama, tidak ada badan belia kebangsaan, hanya MAYC bergerak bersama
gabungan belia-belia telah mendapat berbagai-nbagai faedah daripada
kerajaan sebagai bukan parti siasah.
TUJUAN DAN MATLAMAT
Tujuan
kewujudan MAYC adalah sebagai badan gabungan seluruh belia yang ada di
seluruh negara, seperti penjelasan dari Encik Abdullah Malim Baginda bekas
Penolong Pengarah Belia di KBS, kurang mendapat sambutan dari belia-belia.
Lagipun, MAYC tidak mampu menarik belia-belia untuk menyertainya. Pada
Ogos 1964, KBS telah diwujudkan dan pada November 1965, KBS telah
menganjurkan lawatan sambil belajar ke Chengmai, Bangkok, Thailand
bertujuan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin belia negara ini
meluaskan pengetahuan dari luar negara. Seramai 29 perwakilan dari
persatuan belia dari seluruh negara termasuk juga dari PTBD Kuala Lumpur
yang diwakili oleh saudara Mohd Kassim Shah, saudara Ghazali Salleh dan
saudara Bala Velusamy.
Program 11 hari tersebut, perwakilan dibawa melawat dan meninjau
kegiatan-kegiatan pemimpin 4H Thailand di mana dari situ timbul satu
kesedaran supaya pemimpin Malaysia memulakan satu aktiviti yang sama di
tanah air sendiri. Cadangan ini dimaklumkan pada KBS untuk mencontohi
usaha pemimpin di Thailand agar pemimpim belia di luar bandar dapat
melaksanakannya.
Pada 26 Disember 1965, satu pertemuan diadakan dengan YB Engku Mhsein
Abdul Kadir, Menteri Muda KBS di ibu pejabatnya, diketuai oleh Saudara
Mohd. Kassim Shah, Allahyarham saudara Baharuddin Hussein, saudara Ali bin
Abdul Rahman, saudara Mohd Zain bin Rashid, saudara Mohd Nor bin Haji
Yusof, saudara Bala Velusamy dan turut hadir encik Abdullah Malim Baginda,
pegawai KBS.
Di pertemuan tersebut, YB Menteri Muda bersetuju agar belia-belia
terutamanya di luar bandar menjayakan aktiviti dalam bidang pertanian,
ternakan dan sebagainya bagi mengelakkan belia-belia berhijrah ke Bandar
dan tidak menumpukan kegiatan kebudayaan semata-mata sahaja. Sokongan
penuh dan dorongan YB Menteri Muda KBS di mana satu perubahan perlu
ditekankan terhadap belia di negara ini supaya dapat ditonjolkan bagi
menceburi aktiviti-aktiviti yang mendatangkan hasil dan faedah untuk masa
hadapan mereka. Terutamanya, bidang pertanian ,perternakan,perniagaan dan
lain-lain di mana penglibatan belia dapat membantu kerajaan dalam
pembangunan luar bandar. Belia-belia yang menganggotai PTBD diberi tugas
dan tanggungjawab untuk memainkan peranan bagi menukar mentality dan cara
hidup para belia supaya menjadi lebih kreatif dan berani menghadapi
cabaran pada masa akan datang.
SEMINAR PEMIMPIN BELIA KEBANGSAAN
Di atas inisiatif beberapa pemimpin belia
telah menggabungkan pemimpin belia bernaung di bawah satu pertubuhan baru.
Justeru itu, satu seminar belia anjuran KBS di Pusat Latihan Pertak, Kuala
Kubu Bharu, Selangor telah diadakan pada 22 hingga 24 Disember, 1965.
Seminar dirasmikan oleh YM Engku Mohsein Abdul Kadir, YB Menteri Muda KBS
bertujuan mencari jalan bagaimana pertubuhan belia masa itu dapat memberi
galakan agar lebih ramai golongan belia menyertai pertubuhan tersebut.
Seminar tersebut dihadiri ramai belia dari PTBD.
Pada 23 Disember, 1965, satu pertemuan khas terdiri dari kalangan pemimpin
PTBD seluruh negara bertempat di Pusat Belia Negara telah di adakan.
Tujuannya bagi membincangkan untuk persetujuan sepakat dari
pemimpin-pemimpin PTBD untuk mengwujudkan pertubuhan belia peringkat
kebangsaan yang dipengerusikan oleh Allahyarham saudara Baharudin Hussein,
turut hadir saudara Mohd Kassim Shah sebagai setiausaha. Saudara Abdullah
Malim Baginda, Penolong Pegawai KBS, telah memberi pandangan sekiranya ada
satu badan induk sahaja, maka tiada pilihan lain, kerana masih banyak lagi
persatuan belia luar yang tidak menyertai MAYC. Untuk itu, adalah wajar
diwujudkan satu lagi badan induk belia di peringkat kebangsaan bagi
mempertingkatkan keupayaan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik dan
berkesan. Saudara Mohd Kassim Shah yang mengetuai PTBD telah mengajak
pemimpin belia menubuh atau menukar nama untuk jadi satu gabungan yang
dianggotai ahlinya dari belia-belia PTBD, demi untuk memperluaskan
aktiviti ke peringkat kebangsaan dengan menjadi badan induk bagi saingan
kepada MAYC. PTBD di wakili seramai 36 pemimpin belia termasuk Majlis
Belia Daerah Johor menyertai pertemuan khas tersebut.
PTBD telah sepakat digantikan kepada satu pertubuhan peringkat kebangsaan
dengan jawatankuasa pengasasnya bersama saudara Abdullah Malim Baginda,
Pegawai KBS ditugaskan penubuhan dan penyediaan perlembagaannya.
TANGGUNGJAWAB JAWATANKUASA PENGASAS (PENAJA) GERAKAN BELIA 4B
Jawatankuasa pengasas yang dipengerusikan
oleh saudara Mohd Kassim Shah, merangka deraf perlembagaan pertubuhan,
tujuan, matlamat, strategi, struktur dan mendaftarkan pertubuhan itu
dengan pendaftar pertubuhan. Penasihat pertubuhan adalah saudara Abdullah
Malim Baginda, pegawai KBS dan jawatankuasa penaja telah bertanggungjawab
memberikan nama persatuan belia ini. Ia merupakan gabungan belia dari 14
buah negeri dan telah di persetujui nama pertbuhan tersebut sebagai
GERAKAN BELIA 4B, telah mendapat sokongan daripada pemimpin PTBD dan KBS.
Pengenalan penubuhan jawatankuasa penaja selama tiga bulan di seluruh
negara. Pada 12 April 1966, Gerakan Belia 4B telah mendapat kelulusan dan
bergerak dengan sah.
GERAKAN BELIA 4B MALAYSIA DIISYTIHARKAN
PERTUBUHAN BELIA NASIONAL
Tanggal 21 Ogos 1966 bertempat di Dewan
Belia Kampong Pandan, Kuala Lumpur, upacara rasmi telah sempurnakan oleh
Menteri Muda KBS, Allahyarham YM Dato’ Engku Muhsein Abdul Kadir. Seramai
150 perwakilan dari 8 buah negeri iaitu Selangor, Kedah, Perak, Melaka,
Perlis, Negeri Sembilan, Terengganu dan Johor telah menghadirinya.
Presiden pertama adalah saudara Mohd Kassim Shah.
SEMINAR GERAKAN BELIA 4B MALAYSIA
Satu seminar Gerakan Belia 4B Malaysia telah
diadakan pada 22 Januari 1968 di Maktab Pertanian Malaysia, Serdang, Kuala
Lumpur yang dirasmikan oleh AllahyarhamTun Abdul Razak Hussein, Menteri
Pembangunan Luar Bandar ketika itu.
Seramai 1,200 orang menyertai seminar pertama anjuran Gerakan Belia 4B
Malaysia, KBS dan Maktab Pertanian Serdang. Tunpuan dan tujuan utama
adalah untuk menarik minat dan galakan belia 4B yang tertumpu kepada
belia-belia di luar Bandar supaya bergiat di dalam bidang pertanian,
ternakan dan sebagainya demi menjayakan rancangan pembangunan luar Bandar
dengan pembentangan dua kertas kerja iaitu:
• PERANAN BELIA 4B
– dibentangkan oleh
saudara Abdul Rashid, Pengetua Maktab Pertanian Serdang.
• PERANAN BELIA DALAM PEMBANGUNAN
– dibentangkan oleh Dato’Musa Hitam,
Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tun Saadon Zubir.
PERSIDANGAN AGUNG PERWAKILAN YANG PERTAMA DI MAKTAB KUALA KANGSAR,
PERAK 1969
Persidangan Agung yang pertama Gerakan Belia 4B Malaysia, berlangsung
di Maktab Kuala Kangsar, Perak dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak ,
dihadiri 200 orang perwakilan dari seluruh negara.
Selaku presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, saudara Mohd Kassim Shah
berharap supaya pemimpin yang akan mengambil alih kepimpinan 4B akan
meneruskan perjuangan yang lebih agresif untuk meningkat peranan 4B di
awal penubuhannya dan mengucapkan terima kasih kepada perwakilan, KBS di
atas kerjasama yang telah diberikan. Beliau mengundurkan diri selepas tiga
tahun memimpin Gerakan Belia 4B Malaysia umur beliau genap 30 tahun iaitu
tahap maksimum menganggotai pertubuhan itu.
Ybhg Dato’ Haji Suhaimi Kamarudin, penasihat undang-undang Negeri Pulau
Pinang, telah dipilih memegang jawatan sebagai presiden kedua di
persidangan Agung yang pertama pada tahun 1969.
APAKAH ITU 4B
4B
ialah singkatan nama bagi cogankata Bersatu, Belajar, Bekerja dan
Berkhidmat ini menjadi tunjang perjuangan pertubuhan ini. Merupakan satu
badan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan pada 1965 dan dipimpin oleh saudara
Mohs Kassim Shah selama tiga tahun (1965-1969). Konsep 4B sangat
bersesuaian dengan agenda pertubuhan yang menumpukan dalam bidang
perniagaan dan pertanianpada awal penubuhannya. Persepakatan ahli
jawatankauasa pengasas pergerakan serta menyahut seruan kerajaan yang mahu
membela nasib orang Melayu dalam dua bidang ini. Motto utama 4B ialah ‘
Bergerak’.
Perkataan ‘Gerakan’ diperolehi oleh saudara Mohd Kassim Shah melalui
pembacaan beliau. Manakala ‘4B’ terhasil dari konsep ‘4H’ ilham dari
saudara Abdullah Malim Baginda. Tujuan penting penubuhan adalah mengajar,
melatih serta menggerakkan tenaga belaia di luar Bandar untuk mengusahakan
sebarang peluang dalam bidang social dan ekonomi disekeliling mereka.
Tahun 1856 bermulanya kelab ‘4H’ di New York dan ia meluas keseluruh
Amerika, Eropah, Amerika latin dan Asia. Konsep ‘4H’ meluas ke Asia
Tenggara pada 1957 dalam Far Eastern Youth Conference di Bangkok, Thailand
di atas tajaan United State Operational Mission in Thailand, iaitu sebuah
badan awam Amerika. Di Malaysia, penerimaan konsep ‘4H’ melalui ‘4B’
setelah 9 tahun berlansungnya persidangan itu.
Motto pergerakan ‘4H’ bertemakan ‘To make the best better’ dengan ikrar:
‘ I pledge my head clearer thinking,
my heart to greater loyalty,
my hand to larger service,
my health to better living,
for my club, my community, and my country’
Manakala ikrar Gerakan 4B sebagaimana berikut;
Bahawa kami berikrar akan berfikiran waras,
Bersatu taat setia kepada negara,
Belajar setiap masa, bekerja untuk penghidupan yang sempurna,
Berkhidmat untuk persatuan, masyarakat dan negara.
Konsep ‘Bersatu’ meliputi bidang rohani dan jasmani iaitu satu
penyatuan tenaga fizikal dan mental ayng berasakan kepada satu cita-cita
yang murni dan suci. Penyatuan ini merupakan soal pokok di dalam satu
perjuangan melalui tenaga dan fizikal yang bersatu padu inilah segala
cita-cita dan perjuangan akan mencapai kejayaan.
‘Berkhidmat’ adalah satu cara utama bagi belia yang berkenaan untuk
mencapai perjuangan membina masyarakatnya secara keseluruhan. Semangat
universal yang mesti dipupuk di kalangan kaum belia agar segala cita-cita
dan perjuangan akan mencapai kejayaan.
‘Bergerak’ merupakan perkataan seruan yang melambangkan semangat
berkobar-kobar di kalangan belia-belia untuk memperjuangkan cita-cita juga
menjadi symbol yang menunjukkan jiwa 4B yang dinamis, progresif, radikal
dan menggugat. Seruan ‘Bergerak’ adalah sebagai tindakan dalam menyalurkan
konsep 4B iaitu Bersatu, Belajar, Bekerja dan Berkhidmat.
‘Belajar’ merupakan asas yang terpenting dalam usaha untuk mencapai
sesuatu cita-cita dan pelajaran adalah suatu alat terpenting untuk
mendapatkan kesempurnaan. Para belia mestilah melengkapkan diri dengan
ilmu pengetahuan sebelum menjalankan sesuatu rancangan. Hanya dengan alat
kelengkapan ini barulah matlamat perjuangan belia yang asasi itu dapat
dihasilkan.
‘Bekerja’ adalah tindakan bagi melaksanakan sesuatu rancangan yang
telah ditaja di mana konseop ini juga adalah satu cara untuk menggunakan
hasil bagi mencapai tujuan hidup. Tetapi setiap pekerjaan yang hendak
dikerjakan itu haruslah berdasarkan satu konsep untuk kepentingan
masyarakat seluruhnya dan bukannya untuk kepentingan individu semata-mata.
Melalui konsep yang konkrit ini, tujuan para belia untuk membina negara
akan tercapai. Perkataan Bersatu, Belajar, Bekerja dan Berkhidmat serta
Bergerak yang menjadi cogankata Gerakan Belia 4B ini adalah satu idea yang
tinggi. Idealistik ini amat penting dan mesti ditanamkan dalam hati
sanubari belia supaya mereka tidak semata-mata memikirkan soal diri
sendiri ataupun yang berhampiran dengan diri mereka, tetapi supaya mereka
berpandangan meluas dan objektif dalam mengendalikan kehidupan
masing-masing.
FALSAFAH PERGERAKAN BELIA 4B MALAYSIA
Selepas merdeka, falsafah pertuhuhan ini
ialah untuk memperjuangkan dan menyatukan belia dalam menyahut cabaran
kemerdekaan yang baru dicapai untuk menyempurnakan kemudahan prasarana dan
keperluan ekonomi terutamanya bagi golongan belia Melayu yang tinggal di
kawasan luar bandar. Bagi golongan bukan Melayu mereka tidak
didiskriminasikan untuk turut serta menikmati prasarana yang diwujudkan.
Selepas tahun 1985, falsafah pergerakan ini telah berubah menjadi satu
falsafah yang selaras dengan pembangunan negara iairu untuk memimpin belia
Malaysia supaya menjadi belia yang berketrampilan yang boleh memberi
sumbangan dalam membangunkan negara.
Gerakan Belia 4B merupakan sebuah pertubuhan uyang memenuhi perlembagaan
yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Gerakan Belia 4B mempunyai tiga
peringkat penubuhannya yang bermula dengan peringkat daerah, negeri dan
seterusnya peringkat kebangsaan yang akan mengadakan mesyuarat agung
setiap tahun. Pada peringkat penubuhannya ahli belia 4b berumur di antara
18 tahun hingga 30 tahun.
TUJUAN ASAL PENUBUHAN 4B
Seawal penubuhannya, Gerakan Belia 4B adalah
bertujuan memberi peluang kepada belia luar bandar untuk bergiat dalam
bidang pertanian, penternakan khasnya di kampong bagi membangunkan sector
pertanian di luar bandar. Disamping itu juga bertujuan untuk menyatukan
belia dari kaum Melayu, Cina dan India melalui dasar pertanian serta
mencari pelapis untuk menjadi pemimpin di peringkat Belia 4B dan
seterusnya pertubuhan politik yang lain.
Kesedaran masyarakat Melayu dalam peristiwa 13 Mei 1969 mulai mengalami
perubahan di mana banyak bantuan kerajaan disalurkan kepada orang Melayu
hinggakan masyarakat bumiputera dikenali masyarakat subsidi. Paling utama
ialah menjadi satu tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyatnya. Atas
semangat inilah GB4B ditubuhkan agar kerajaan dapat membantu orang Melayu
supaya bersikap keusahawanan dan tidak cemburu dengan kejayaan kaum lain.
Secara khusus tujuan GB4B adalah seperti berikut:
1. Menyatu, menyusun dan menggembeleng tenaga belia untuk mengambil
peranan positif dalam
pembangunan negara dan untuk menegakkan masyarakat yang
adil.
2. Memberi pendidikan rohani dan jasmani
3. Melatih ahli-ahli mengambil bahagian yang sepenuhnya demi
kepentingan 4B, agama, bangsa dan
negara.
4. Menggalak dan menganjurkan pengkajian, latihan dan bimbingan
untuk belia-belia dalam semua
bidang kemahiran dan pengetahuan.
5. Memajukan dan mengukuhkan kedudukan ekonomi ahli-ahli untuk
mewujudkan masyarakat yang
lebih makmur.
6. Menaja dan memimpin usaha-usaha berkhidmat yang tulin berdasarkan
rasa tanggungjawab dan
keikhlasan.
7. Menggalakkan ahli bergerak ke arah kehidupan yang sempurna yang
berasaskan kehormatan diri
dan sifat berdikari dan berdisiplin.
8. Berusaha untuk memelihara, memperkembangkan dan mempertahankan
keutuhan bahasa
Malaysia dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan
Kebudayaan Malaysia.
9. Bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan sukarela yang sehaluan
dengan kehendak-
kehendak, tujuan dan perjuangan 4B.
10. Memajukan sokongan kepada kerajaan dan badan-badan lain yang sesuai
dan
11. Berusaha mempertahankan, menegak dan memperkembangkan agama Islam.
Agama rasmi
negara Malaysia.
KEGIATAN GERAKAN BELIA 4B PADA PERINGKAT
AWAL PENUBUHANNYA
Di
awal penubuhannya, tentangan dan cemuhan terhadapnya kerana kebanyakan
masyarakat tidak mempunyai keyakinan terhadap matlamat Gerakan Belia 4B
yang ingin membangunkan sector pertanian agar penghijrahan belia ke bandar
secara besar-besaran tidak berlaku secara mendadak. Sekitar 1960an factor
kewangan menjadi persoalan utama dalam memajukan Belia 4B. Selain itu,
kekurangan latihan dan kemudahan menimbulkan masalah yang besar kepada
Belia 4B di mana pejabat awalnya hanya disewa atas usaha pemimpinnya dan
berpindah ke no. 168, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Gabungan Persatuan Belia Daerah ini diletakkan di bawah Kementerian
Kebajikan tetapi Belia 4B berjaya memberi kepercayaan serta disusuli
kejayaan dan sokongan Dari Allahyarham Tuanku Abdul Rahman maka ahli Belia
4B bertambah. Objektif 4B menyakini KBS dengan pemberian kewangan sebanyak
RM 1,200 hingga RM 3,000 dagi tempuh tiga bulan. Kerjasama Belia 4B dengan
belia lain yang wujud seperti Angkatan Belia Islam Malaysia.
Di awal penubuhan ahlinya seramai 1,500 orang di mana saluran
komunikasinya masih belum lengkap dan sukar beri publisiti kepada belia
lain mengenai gerakan ini. Ajk Gerakan Belia 4B dari peringkat daerah
hinggalah ke peringkat kebangsaan bertungkus lumus dan mendapat galakan
daripada Allahyarham Tun Abdul Razak , Menteri Pembangunan Luar bandar
ketika itu.
Kegiatan di awal penubuhannya tertumpu pada bidang agama, pertanian,
kebudayaan, dan sukan. Masa lapang belia-belia luar Bandar diisi dengan
kegiatan yang lebih berfaedah antaranya mengambil bahagian dalam perarakan
Maulidur Rasul di ibu negara selama dua tahun dan mengadakan gotong royong
di jalan masuk Kuala Kubu Bharu sehingga diberi nama jalan Gerakan belia
4B antara kejayaan serta menjadi kenangan. Dasar umum kepentingan dan
matlamat utama pergerakan ini adalah memajukan sosio-ekonomi di luar
Bandar menerusi kegiatan pertanian.
Penyertaan para belia dalam Belia 4B menonjolkan kepimpinan seorang
pemimpin yang mampu untuk membawa Gerakan Belia 4B ke arah yang lebih
mencabar.
Wakil rakyat dari pemimpin pergerakan mendapatkan pembiayaan projek di
mana sambutan daripada pemuda dan kerajaan memberikan galakan. Ahlinya
dari bangsa Melayu meramaikan jumlah ahlinya, pemuda UMNO menjalankan
kempen dari masa ke semasa.
Sepanjang tujuh tahun penubuhan GB4B berubah mengikut keadaan dengan
projek sosio-ekonomi ahli-ahli melalui Rancangan Pembangunan Lima Tahun (PELITA)
bermatlamat untuk memenuhi keperluan ahlinya. 4B sendiri mewujudkan
syarikat perniagaan iaitu syarikat Kerjasama Sebaguna Gerakan 4B (SEGEMAL)
serta SEGERAK (4B Kelantan).
Kebanyakan kegiatan sekarang disertai GB4B menjadikan satu nadi kepada
program Rakan Muda, KBS. Tahun 1995, GB4B melalui programnya iaitu Gerak
21 yang mengandungi pelbagai fungsi seperti Gerak Kembali, Gerak Udara,
Gerak Usahawan, Gerak Ilmu dan sebagainya. Contohnya, kelab penerbangan
diperkenalkan di bawah Gerak Udara bagi melahirkan golongan muda mempunyai
kemahiran mengendalikan pesawat ringan seterusnya menjadi seorang
juruterbang professional adalah kerjasama syarikat Mofaz Air Sdn. Bhd.
Berpengkalan di Langkawi. Dari segi pendidikannya, GB4B telah menubuhkan
Taska dan Tadika Al-Shabab melalui pimpinan Presiden GB4B sekarang, YB
Dato’ Seri Mohd Ali Rustam, bertujuan memberi pendidikan asas kepada
generasi baru yang berteraskan pendidikan Islam. |